Thursday, August 21, 2008

PETUA / TIPS

ARTIKAL & TIPS-TIPS KESIHATAN & KECANTIKAN

1.Tip kurang kadar kolesterol dalam tubuh
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

UNTUK mengawal kadar kolesterol supaya tidak terlalu tinggi dalam tubuh seseorang, ia boleh dilakukan dengan terapi nutrisi iaitu melalui pengambilan makanan anti kolesterol yang boleh diperoleh dalam hidangan seharian individu. Hakikatnya, anda boleh membuat pilihan hidangan tepat dengan menggantikan lemak jahat dalam tubuh kepada lemak bermanfaat.
Dalam pengambilan makanan sehari-hari, terdapat beberapa makanan yang bersifat anti kolesterol iaitu berperanan membantu mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh individu, membantu mengawal berat badan serta memberikan kesihatan pada jantung.

Limau nipis
Antara pelbagai jenis limau, limau nipis atau lemon adalah yang paling banyak mengandungi flavonoid. Sebatian ini mampu menentang produksi lemak berlebihan selain mengurangkan risiko serangan jantung. Flavonoid boleh didapati dalam teh, brokoli, tomato, bawang (seperti bawang merah) dan delima.

Ikan Tuna
Kandungan tuna termasuk sumber asid lemak omega-3 yang popular, selain salmon, Omega-3 secara khususnya melindungi tubuh dalam mengawal kenaikan kolesterol dan lemak jahat.

Tempe
Makanan ini kaya dengan sebatian fisoflavon yang bersifat anti kolesterol. Selain tempe, fisoflavon juga terdapat pada tauhu.

Kacang Tanah
Kacang tanah mengandungi banyak lemak sihat sekali gus kaya dengan vitamin E yang mampu ‘mengunci’ radikal bebas sehingga menghalang pembentukan plak pada dinding pembuluh darah bagi mencegah serangan jantung

Mangga
Vitamin C banyak terdapat pada mangga. Sumber lainnya termasuklah belimbing, aneka jenis limau, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin C mencegah kehadiran kolesterol jahat dalam tubuh selain melindungi jantung daripada pembentukan plak pada pembuluh darah.

2.NIKMAT MAKAN PERLAHAN
-SUMBER : HARIAN METRO

Makanan dikunyah hancur menga
ndungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia memudahkan proses pencernaan.
BANYAK masalah kesihatan dialami penduduk dunia hari ini berpunca daripada makanan dan sikap terlalu banyak makan. Dalam semua aspek kehidupan, termasuk bab makan, Islam menyarankan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kesederhanaan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.” Baginda juga menasihatkan: “Berpuasalah! Nescaya kamu akan sihat.” Dalam sebuah hadis lain ada menyebut: “Janganlah dibunuh hati kamu seumpama buah, malah seumpama ladang yang binasa akibat terlampau banyak air. Begitulah hati akan binasa dengan banyak makan dan minum.” Malah, Islam memberi garis panduan terhadap adab sopan ketika makan iaitu mengecilkan suapan, kunyah perlahan-lahan, makan tidak berselang seli dengan minum manakala ketika minum, air hendaklah diteguk sedikit demi sedikit.

Ada juga yang menyarankan supaya makanan dikunyah sehingga betul-betul hancur dengan kiraan sekurang-kurangnya 30 kali kunyah. Ada juga yang mengatakan 40 kali. Tidak kira berapa kali pun, saranan ini ada manfaat terselindung kerana makanan dikunyah hancur mengandungi lebih banyak enzim dari air liur dan ia memudahkan proses pencernaan.

Masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang semakin berleluasa menyebabkan ada penyelidik Barat mencuba pendekatan makan secara perlahan-lahan dalam kajian mereka. Dalam kajian dijalankan penyelidik Universiti Rhode Island, Amerika Syarikat itu, 30 peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang makan cepat diberi sudu besar, makan secepat mungkin dan tidak berhenti ketika mengunyah. Manakala kumpulan kedua diberi sudu lebih kecil, suapan mereka juga kecil, mengunyah makanan antara 15 hingga 20 kali dan meletakkan sudu di atas pinggan setiap ketika mengunyah.

Setiap peserta diberi jumlah dan berat makanan sama iaitu sepinggan besar pasta dengan sos tomato dan keju parmesan serta segelas air. Hasil kajian mendapati:
> Apabila makan cepat, wanita mengambil 646 kalori dalam masa sembilan minit. > Apabila makan perlahan-lahan, purata pengambilan kalori hanya 579 kalori dalam masa 29 minit. Ini bermakna orang yang makan cepat mengambil lebih banyak kalori dalam masa singkat. Walaupun perbezaannya hanya 67 kalori bagi kedua-dua kumpulan, namun jika dinilai bagi tiga waktu makan (sarapan, makan tengah hari dan malam) bezanya sangat ketara. Malah, peserta ditanya mengenai kepuasan mereka sejurus selepas makan dan sejam kemudian. Kumpulan yang makan cepat mendakwa mereka tidak puas dan cepat lapar berbanding kumpulan satu yang makan perlahan-lahan. Kumpulan yang makan perlahan berkata, mereka berpeluang menikmati keenakan makanan dan minum lebih banyak air ketika makan.

Faktor ini dipercayai menyebabkan mereka puas dan kenyang lebih lama. Makan secara perlahan-lahan juga memberi peluang kepada otak untuk mengenali isyarat bahawa kita sebenarnya kenyang. Ini kerana isyarat kenyang dan puas makan mengambil masa untuk ditafsirkan.

Justeru, ada pakar pemakanan menyarankan kita berehat di antara 15 hingga 20 minit sebelum mengambil keputusan menambah makanan ke dalam pinggan — jika masih terasa lapar. Malah, apabila makan cepat, kita biasanya terdorong untuk kurang minum air. Ada kalanya kita tersilap mentafsir antara rasa lapar dan dahaga.
Ramai orang tidak sedar badan mereka sebenarnya mahu air dan bukan makanan, tetapi keinginan itu disalah anggap dengan keinginan untuk makan. Ini sebabnya ada yang menyarankan kita minum sebelum atau selepas makan kerana ia membuat kita berasa lebih cepat kenyang.Kita juga tidak digalakkan minum ketika makan kerana ia mencairkan enzim pencernaan dalam perut.

Proses pencernaan berlaku lebih sempurna dalam keadaan perut berasid. Jika terpaksa, minum dalam tegukan kecil tetapi elak minuman berkarbonat, soda atau minuman berais kerana ia menghalang pencernaan. Sebaik-baiknya minum 10 minit sebelum makan atau sekurang-kurangnya sejam selepas makan.

Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Madya Dr Norimah Karim, berkata tabiat pemakanan sihat mempunyai tiga ciri iaitu makan secara perlahan-lahan (melebihi 20 minit untuk menghabiskan sesuatu makanan), makan apabila terasa lapar dan berhenti sebaik saja terasa kenyang sedikit. Jika terlalu sibuk sehingga kadangkala tidak makan, buat jadual makan yang bersesuaian dengan kerja bagi memastikan anda ada waktu makan teratur kerana ia ‘mengajar’ badan untuk berfungsi dengan lebih baik dan cekap.

Makan cepat bukan saja memperlihatkan sikap gelojoh, tetapi ia juga boleh menyebabkan masalah pencernaan yang mengakibatkan beberapa masalah seperti:
> Banyak angin (lebih kerap kentut daripada biasa).
> Kembung.
> Cepat penat.
> Mudah berparut.
> Keradangan kulit.
> Berat badan bertambah dengan cepat.
> Sering sendawa.
> Pedih ulu hati.
> Makanan tidak hadam.
> Keradangan lain.

Sememangnya kajian berkenaan mengesah dan menguatkan lagi amalan Islam yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Didapati amalan makan perlahan-lahan dapat membantu:

> Mengurangkan berat badan. Makan perlahan-lahan memberi badan masa untuk mengenal pasti bahawa kita sebenarnya kenyang dan ia secara tidak langsung dapat mengelak kita terlebih makan.

> Memberi kepuasan dan keseronokan menikmati makanan. Sememangnya apabila kita makan secara perlahan-lahan, kita dapat menikmati sebenar rasa makanan.
> Memperbaiki proses pencernaan. Ramai menyangka makanan hanya dicernakan apabila sampai ke perut. Sebenarnya pencernaan makanan bermula di dalam mulut iaitu ketika kita mengunyah dan menghancurkan makanan. Lebih lama makanan dikunyah, lebih banyak enzim daripada air liur masuk ke dalam makanan dan ia membantu memudahkan proses pencernaan di dalam perut.

> Mengurangkan tekanan. Waktu makan boleh menjadi ‘sesi menenangkan fikiran’ bagi sesetengah orang, terutama yang terlalu sibuk dan tiada waktu untuk bersenam. Makan perlahan-lahan membolehkan anda berasa lebih seronok dan tenang.
> Lebih banyak masa berinteraksi dengan orang lain. Berbual ketika makan bukan saja membuatkan kita makan lebih perlahan, tetapi ia juga memberi ruang untuk merapatkan hubungan dengan orang lain. Kaedah ini lebih baik jika dapat diamalkan dalam keluarga untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

3. Tip menurunkan berat badan
TANYA DR. PAKAR @ Kesihatan
Sumber : UTUSAN MALAYSIA

Dr. Pakar,
BARU-BARU ini saya mengalami pertambahan berat badan yang amat ketara dan keadaan ini amat merunsingkan saya. Saya cuba mengawal berat badan dengan cara berdiet tetapi hasilnya sama seperti sediakala. Saya berusia 29 tahun dan berat badan saya sekarang mencecah 98 kilogram. Masalahnya, saya tidak pasti dengan pemakanan yang sepatutnya saya ambil.

Besar harapan saya agar doktor boleh memberikan menu yang sesuai sebagai diet saya selama seminggu. Apakah makanan yang perlu saya tambahkan ke dalam diet dan apakah pula makanan yang perlu dielakkan.

Sekian, terima kasih. – DEWASA BERAT
Dewasa Berat,

Bergantung kepada ketinggian tubuh anda (dan bukannya umur anda), doktor akan menentukan sama ada anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes menggunakan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI). Saya anggarkan, dengan berat badan 98 kg, anda mungkin termasuk dalam kategori obes.

Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh anda jadikan rujukan untuk mengurangkan berat badan.
l Bahagian utama hidangan anda hendaklah terdiri daripada makanan berasaskan kanji seperti roti, bijirin, kentang dan nasi; buah-buahan dan sayur-sayuran.
* Kurangkan sebanyak mungkin lemak daripada diet anda.
Lemak mengandungi lebih banyak kalori - sehingga dua kali ganda berbanding makanan berkanji atau berprotein dalam kuantiti/berat yang sama.

Tip: Gunakan sapuan rendah lemak pada roti anda; apabila memasak kurangkan penggunaan minyak; panggang makanan di sebalik menggorengnya; buangkan lebihan lemak daripada daging dan pilih daging tanpa lemak dalam potongan yang lebih kecil. Perhatikan juga lemak tersembunyi yang terdapat di dalam kek, biskut, coklat, kerepek dan pai.
l Ambil versi susu, keju, yogurt dan lain-lain yang rendah lemak. Ia mempunyai kandungan kalsium yang sama nilainya dengan versi lemak penuh tetapi kurang kalori.
l Umumnya, makanan lemak rendah adalah yang terbaik. Tetapi haruslah diingat, sesetengah makanan dan minuman rendah lemak mempunyai kandungan kalori yang tinggi seperti alkohol, minuman manis dan gula-gula. Jadikan air masak sebagai minuman utama anda berbanding minuman ringan.

* Makan sebanyak tiga hidangan sihat sehari termasuk bersarapan adalah yang terbaik. Makan setiap hidangan secara perlahan-lahan. Jangan melangkau hidangan anda kerana ia hanya akan membuatkan anda menjadi bertambah lapar.

Akibatnya, ia merangsang anda untuk lebih memikirkan tentang makanan, sekali gus menjadikan anda lebih cenderung untuk makan secara berlebihan pada waktu malam. Ini tidak baik untuk berat badan yang ideal. Elakkan mengudap snek/makanan ringan di antara waktu makan.

* Lakukan aktiviti fizikal sekerap yang boleh. Jiika anda tidak biasa melakukannya, mulakan dengan berjalan pantas lebih 30 minit setiap hari dan tingkatkannya dari situ.

Sebarang tambahan baik dari segi berjalan, menari, berenang, berbasikal dan sebagainya adalah digalakkan. Cuba tingkatkan jumlah aktiviti yang anda lakukan pada setiap minggu sehingga anda melakukan antara 60 hingga 90 minit, sekurang-kurangnya tiga kali/hari seminggu.

* Realistik. Anda tidak perlu menyasarkan berat badan yang sempurna. Sekiranya anda tergolong dalam kategori berat badan berlebihan atau obes, anda akan mendapat banyak faedah kesihatan daripada 5 hingga 10 peratus penurunan berat badan anda (biasanya 5 hingga 10kg).

* Yang terbaik adalah untuk tidak kehilangan berat badan dengan begitu cepat atau mendadak. Jiika berat anda turun lebih sekilogram seminggu, anda mungkin kehilangan tisu otot-otot dan bukannya lemak yang sepatutnya dihapuskan.

Penurunan berat badan antara setengah hingga 1 kilogram seminggu adalah paling baik. Untuk mencapainya, anda perlu kurangkan antara 500 hingga 1,000 kalori berbanding yang anda ambil sebelumnya. Anda akan kehilangan 6 ke 12kg jika mengekalkan amalan ini sehingga tiga bulan.

* Maklumkan kepada orang lain mengenai rancangan anda mengurangkan berat badan. Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan dapat membantu anda kekal bermotivasi. Anda juga boleh menimbangkan untuk menyertai pusat-pusat kecergasan berhampiran anda. Untuk mengurangkan berat badan secara berterusan adalah lebih mencabar berbanding menurunkan sedikit berat badan.

Sebaik sahaja anda berjaya mengurangkannya, anda mungkin dapat terus menurunkannya dengan lebih stabil dengan syarat, pilih diet sihat, tidak lupa bersenam secara konsisten dan menimbang berat badan seminggu sekali untuk memeriksa berat badan semasa anda.

Semoga berjaya!

Jawapan disediakan oleh Pakar Perubatan dan Gasteroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

4. JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari.

Namun begitu ramai yang enggan berjumpa doktor atas alasan malu, ditambah dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak mengganggu kehidupan hariannya.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata, JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian itu.

‘‘Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.
“Walaupun tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan dan penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat lebih dari sejenis JOP,’’ katanya.

Jenis-jenis JOP Bahagian atas/bumbung faraj Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
* Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear
* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj
* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.
Bahagian hadapan
Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan. Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.
Bahagian belakang faraj
“Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini dipanggil enterosele.
“Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele,’’ terang Dr. Rosilawati.
Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi selepas pembedahan.
Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.
“Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.
“Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,’’ ujar beliau.

Punca-punca JOP
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau sembelit kronik.

Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.

Simptom dan diagnosis Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.
“Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.
“Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.’’

Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.
Pencegahan
* Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera
* Melakukan senaman pelvik adalah amat penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang
* Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau tidak, sila keluar dari bilik air
* Memakai girdle/sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat
* Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik
* Elakkan mengandung yang kerap dan rapat. Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
Rawatan Dr. Rosilawati berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik.
‘‘Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh. “Ia boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif atau yang menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan,’’ jelasnya.
Mengulas lanjut, ini mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu mengandung dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan. Cuma, ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya.
Secara amnya, setiap rawatan individu adalah bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya terhadap kehidupan wanita itu.
Rawatan pembedahan Merupakan pilihan terakhir setelah segalanya dilakukan. Anterior repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang dilakukan dari bahagian hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian abdomen/perut.
Dr. Rosilawati memberitahu: “Ia digunakan untuk membetulkan pundi kencing yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh digunakan.
“Komplikasi yang mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air kecil.’’

Begitu juga dengan posterior repair yang melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan komplikasi yang lebih kurang sama dengan anterior repair. Selain itu, terdapat teknik baru menggunakan pita khas tetapi agak mahal.

“Rawatan pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari faraj dipanggil histerektomi faraj. “Selalu juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP melibatkan bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus,’’ katanya sambil menambah, salah satu komplikasi yang boleh berlaku adalah vault prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi masalah ini lebih merumitkan.

Pascapembedahan
Kebiasaannya, mereka yang pernah mengalami pembedahan melalui faraj akan melalui prosedur pembedahan yang singkat, kurang memerlukan ubat tahan sakit, mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup seperti biasa. Walaupun begitu, histerektomi mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu lepas pembedahan. Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal. “Yang penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang segala masalah alat sulit yang dihidapi,’’ pesan Dr. Rosilawati.
Lakukan pemeriksaan tahunan dan pap smear sebagaimana jadual yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kesimpulannya, rawatan dalam bentuk pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada wanita itu sendiri, keseriusan masalahnya serta aspirasi masa depan reproduktif dan seksualnya.

5. Rahim jatuh amat diketahui sebagai Prolapse rahim adalah satu keadaan dimana rahim jatuh ke bawah dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen dan otot yang biasanya memegang rahim pada kedudukkan asal menjadi lemah akibat dari kehamilan dan kelahiran. Justeru itu rahim seakan-akan melorot kebawah melalui saluran faraj. Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, diperingkat awal ia hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua dimana pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj .
Diantara kesan -kesan kekenduran faraj dan otot rahim adalah seperti berikut:
1)Gangguan perkencingan.
Ramai wanita yang mengalami masalah kekenduran rahim atau prolapse akan menghadapi masalah perkencingan seperti kerap kencing, sukar hendak mulakan kencing tetapi apa yang ketara sekali sukar untuk mengawal kencing khususnya apabila ia batok, bersin ataupun apa apa perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa berdekah-dekah, semput dan ketika hendak berdiri daripada sujud ketika sembahyang, maka air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa boleh dikawal. Keadaan ini digelar dengan nama Stress Incontincence dan sangat menyusahkan dan mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam menjalankan amal ibadah seperti sembahyang kerana ia mudah batal daripada wudu’nya.
2)Gangguan hubungan kelamin
3)Ketidakselesaan dan sakit pinggang
4)Gangguan Kesihatan

Langkah yang terbaik bagi wanita ialah untuk mencegah setelah mengetahui punca atau faktor faktor yang mungkin menyebabkannya. Diantara langkah langkah tersebut ialah :
i) Jaga kesihatan dan kawal berat badan
Kegemukan adalah salah satu faktor yang bukan sahaja yang menjadi satu gangguan terhadap kecantikan seseorang wanita, malah ia mempunyai banyak kesan kesan yang buruk terhadap wanita.Oleh itu salah daripada masalah ialah prolapse di kemudian hari. Oleh itu eloklah jaga berat badan dengan mengawal makanan dan membuat senaman. Amalkan juga BIDADARI secara harian.
ii) Amalan exercise kemut atau “grip” Exercise
untuk menggemut atau grip adalah bertujuan untuk menguatkan otot lantai punggong, otot sekeliling faraj,otot otot yang mengawal perkencingan. Cara melakukannya ialah kita bayangkan seperti melakukan persetubuhan dan ketika itu kita menggemut atau mencengkam alat zakar suami. Jika ini dilakukan berulang-ulangkali untuk beberapa saat,misalnya dua tiga minit sekali dalam waktu pantang dan seterusnya menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian. Insya Allah otot disekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sediakala.

6. Bagaimana ia terbentuk dan bagaimana meredakannya
Secara lazimnya, buasir merupakan penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Tetapi… Adakah anda tahu, 1 dalam 3 orang daripada kita akan mengalami buasir pada peringkat-peringkat tertentu sepanjang hayat? Adakah anda tahu, 7% daripada kita tidak tahu-menahu atau tidak pasti pun sama ada mereka pernah mengalami buasir? Adakah anda tahu, 10 peratus daripada kita yang pernah mengalami buasir tidak sedar ia sebenarnya mungkin berpunca daripada sembelit? Diet dan gaya hidup tidak sihat serta tabiat tandas yang buruk merupakan antara beberapa faktor yang boleh memberikan kesan terhadap fungsi usus yang baik.

Salah satu daripada masalah usus yang paling biasa berlaku ialah buasir atau turut dikenali sebagai hemorrhoid, perkataan Greek yang membawa maksud pengaliran darah yang akhirnya menjadi buasir.

Peringkat-peringkat penyakit buasir:
Tahap 1: Pesakit biasanya akan mengalami pendarahan selepas membuang air besar
Tahap 2: Pesakit akan mendapati buasir akan terjulur keluar selepas susah membuang air besar. Tetapi ia akan masuk dengan sendirinya selepas ia mengecut.
Tahap 3: Buasir yang terjulur keluar tidak akan masuk kembali melainkan ditekan ke dalam dubur.
Tahap 4: Buasir akan kekal di luar lubang dubur kerana keadaan buasir yang bertambah besar. Ia boleh mengalami pendarahan dalam, luka dan bernanah.

Jenis-jenis buasir

Buasir Dalam: Ia berlaku di bawah kulit, betul-betul di luar permukaan dubur. Ia akan terasa sakit dan rasa gatal semasa membuang air besar. Buasir jenis ini agak lembut, berbentuk bulat dan berwarna ungu.

Buasir Luar: Ia berlaku di bahagian dalam rektum. Buasir jenis ini tidak sakit. Pesakit akan menyedari kesakitan bila terdapat darah keluar dari dubur. Sebab-sebab berlakunya buasir Sembelit Tekanan (pressure) Duduk atau berdiri dalam jangka masa yang terlalu lama Berat badan berlebihan , mengandung

Cara meredakannya: Pemakanan yang sihat. Ia dapat memastikan najis tidak keras dan kekerapan membuang air besar Minum banyak air, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini dapat mengatasi sembelit. Menjaga kesihatan pada kawasan dubur dengan mencuci sekerap mungkin.

7.SIDROM HAID;
ADA orang berkata, haid atau datang bulan adalah waktu ‘rehat’ untuk wanita, tetapi ada juga yang terpaksa mengambil cuti sakit sekurang-kurangnya sehari setiap bulan, terutama mereka yang mengalami senggugut teruk.
Saintis menganggap haid adalah cara badan membersihkan rahim daripada sperma dan bakteria. Kitaran haid adalah satu proses yang kompleks dan membabitkan banyak hormon. Ia berlaku disebabkan perubahan fisiologi badan wanita yang dikawal oleh sistem hormon reproduktif dan penting untuk meneruskan keturunan. Kedatangan haid menandakan seseorang perempuan itu akil baligh yang biasanya berlaku ketika berumur 12 tahun.
Bagaimanapun, usah risau jika anak gadis lambat datang haid kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa antara umur lapan hingga 16 tahun. Ketika bayi perempuan dilahirkan dia sebenarnya mempunyai semua telur (dianggarkan antara 450,000 hingga 500,000) yang disimpan dalam ovari. Setiap satu mempunyai kantung khas dipanggil folikel.
Apabila baligh, badan akan menghasilkan pelbagai jenis hormon yang mematangkan telur dan inilah permulaan kitaran haidnya. Folikel yang matang akan menghasilkan hormon estrogen. Estrogen bertanggungjawab menjadikan dinding uterus menebal, menyebabkan perubahan mukus (lendir) serviks. Ketika haid, satu telur akan dikeluarkan.
Ada juga kes telur dikeluarkan yang membolehkan seseorang wanita mendapat bayi kembar tidak seiras jika berlaku persenyawaan. Satu lapisan dinding dalam rahim (endometrium) akan terbentuk sebagai tempat telur yang tersenyawa melekat bagi membolehkan kehamilan. Jika persenyawaan dan kehamilan tidak berlaku, dinding ini akan runtuh dan dikeluarkan sebagai haid. Inilah permulaan kitaran haid yang biasanya mengambil masa seminggu.

Bagi wanita Islam, pendarahan yang berlaku selepas 15 hari tidak lagi dianggap haid, sebaliknya istihadah (darah penyakit). Kitaran ini akan berulang setiap bulan (dalam tempoh 28 hari) sehingga semua telur habis dikeluarkan (menopaus). Sebaiknya tandakan tarikh permulaan dan tamat haid. Lakukan beberapa bulan supaya anda boleh membuat satu carta bagi memastikan tempoh kitaran haid. Ini membolehkan anda mengesan jika berlaku kelewatan haid yang mungkin disebabkan penyakit atau kehamilan. Malah, pakar perubatan juga akan merujuk kepada carta ini untuk menentukan tarikh kelahiran anak.
Berapa banyak darah yang keluar? Kajian mendapati wanita hilang antara satu hingga dua auns (suku hingga tiga suku cawan) yang mengandungi darah (termasuk zat besi), sel mati dan lendir. Kehilangan zat besi menyebabkan ramai wanita mudah berasa penat ketika haid.

Ada yang menyarankan supaya wanita mengambil pil makanan tambahan zat besi untuk mengatasi masalah ini. Ramai wanita bimbang dengan bau darah haid. Ia disebabkan aktiviti bakteria faraj terhadap elemen darah dan ia adalah perkara normal. Justeru, tidak kira berapa teliti pun seseorang itu menjaga kebersihan dirinya, bau darah tetap ada.

Lain wanita, lain pengalaman haidnya. Ia boleh berlaku sebelum (dipanggil sindrom pra haid atau PMS), ketika dan selepas haid. Antara masalah yang kerap berlaku termasuk sakit perut (senggugut), sakit kepala dan belakang badan, kembung, mual, cirit-birit, sakit pada payu dara, berasa tidak selesa dan perubahan emosi. Sindrom pra haid termasuk perubahan emosi, sakit kepala dan keletihan.

Ada sesetengah wanita menginginkan makanan seperti coklat, roti, pastri atau mi. Ia disebabkan tindak balas insulin terhadap perubahan hormon yang mengesan kekurangan paras gula dalam darah. Ia boleh diatasi dengan mengamalkan diet seimbang.

Ada juga wanita mengalami masalah nyeri berkala, iaitu lebam pada mana-mana bahagian badan tanpa sebarang sebab. Saintis percaya ia ada kaitan dengan paras estrogen yang rendah sebelum haid. Estrogen juga berfungsi untuk menguatkan dinding kapilari (saluran halus darah) dan kekurangan hormon ini menyebabkan kapilari menjadi lemah. Akibatnya warna kulit mudah berubah ketika haid. Selain itu, sakit perut atau senggugut adalah masalah paling lazim.

Ada dua bentuk senggugut, sama ada sakit memulas (spasmodik yang disebabkan tindakan prostaglandin pada otot) atau konjestif (akibat pengumpulan air dan garam dalam badan). Untuk mengatasinya, ada penyelidik mencadangkan supaya makan makanan yang kaya asid linoleik seperti sayur-sayuran dan ikan untuk merehatkan otot.
Bagi sakit perut konjestif pula, wanita disaran mengelak mengambil produk susu, kafein dan alkohol.

Selain itu ada beberapa cara boleh dilakukan untuk mengatasi senggugut, seperti:
- Bersenam. Ia melancarkan aliran darah dan oksigen terutama pada pelviks.
- Jangan gunakan tampon, sebaliknya gunakan tuala wanita biasa. pElakkan makan daging merah, makanan berlemak dan susu.
- Makan banyak sayur-sayuran, terutama bagi wanita yang mengalami masalah sembelit ketika haid.
- Elakkan minuman mengandungi kafein kerana ia mengetatkan salur darah dan meningkatkan tekanan.
- Urut.
- Minum teh bercampur halia.
- Baring, berehat dan tenangkan fikiran, terutama jika anda turut mengalami sakit belakang.
- Tuam bahagian perut dengan meletakkan pek panas atau tuala panas. Ia dapat melegakan kesakitan.


8. KURANG TIDUR PUNCA GEMUK:
APABILA berat badan bertambah, boleh dikatakan semua orang risau, tetapi tidak ramai mengambil langkah proaktif untuk mengelakkannya daripada terus bertambah. Rasa panik biasanya terbit apabila baju atau seluar sedia ada menjadi ketat atau tidak boleh dipakai lagi. Soal berat badan berlebihan adalah isu global yang dihadapi hampir setiap orang. Apabila tiba ke tahap itu, ramai mencuba pelbagai produk untuk kembali ke bentuk badan asal, tetapi ini bukan langkah terbaik kerana lemak terkumpul tidak dapat dipecahkan melalui penggunaan ubat sapu atau minum jus tertentu.

Tabiat makan juga mempunyai pengaruh besar terhadap pertambahan berat badan. Ada orang mendakwa hanya makan nasi sekali sehari, tetapi berat badannya tetap bertambah. Ada pula yang makan tiga hingga empat kali sehari, tetapi kekal langsing.

Banyak faktor menyumbang pertambahan berat badan, tetapi yang utama ialah pilihan jenis makanan dan kekerapan melakukan senaman. Kedua-duanya ada kaitan rapat.
Katanya, jika tidak bersenam dan kurang bergerak, baki tenaga yang diperoleh daripada makanan akan disimpan sebagai lemak di bawah kulit. Proses ini lama kelamaan menyebabkan berat badan bertambah. Namun, ada lagi faktor yang boleh merangsang pertambahan berat badan, iaitu kurang tidur dan terlalu lama dalam persekitaran berhawa dingin. Tidak cukup di pejabat, ada yang memasang alat pendingin hawa di rumah. Malah, tekanan di tempat kerja atau masalah peribadi sering membuat ramai tidak mendapat cukup tidur.

Berdasarkan laporan penyelidik dari Universiti Alabama, Birmingham, Dr David B Allison dalam Jurnal Obesiti Antarabangsa Jun lalu, kajian ke atas haiwan dan manusia di Amerika Syarikat mendapati kurang tidur meningkatkan selera seseorang dan merangsang dia untuk makan banyak. Malah, ada pakar pengurusan badan menyarankan individu yang mahu mengurangkan berat badan supaya mendapat cukup tidur iaitu antara tujuh hingga lapan jam sehari.

Satu kajian lain menunjukkan, individu yang tidur kurang daripada empat jam sehari mempunyai risiko 73 peratus untuk mengalami obesiti dan 50 peratus bagi mereka yang tidur hanya lima jam sehari. Apabila kurang tidur, badan kurang menghasilkan hormon leptin, iaitu sejenis protein darah yang bertanggungjawab mengawal selera dan rasa lapar. Paras leptin yang rendah ini menghantar isyarat ke otak, memberitahu badan kekurangan makanan dan seseorang individu itu perlu makan lebih banyak, walaupun dia sebenarnya kenyang. Jika masalah kekurangan tidur ini berlarutan, penghasilan leptin juga semakin berkurang dan keinginan untuk makan bertambah tinggi. Malah, kekurangan tidur juga meningkatkan paras ‘grehlin’ iaitu sejenis bahan yang meningkatkan keinginan untuk makan.

Masalah ini kerap berlaku pada musim cuti atau perayaan kerana ketika ini kebanyakan orang tidur lewat. Apabila lewat tidur, masa yang ada biasanya diisi dengan aktiviti membabitkan makanan.

Terlalu lama dalam perkitaran berhawa dingin juga boleh merangsang selera seseorang. Dalam keadaan sejuk, badan terpaksa membakar lebih banyak kalori untuk mengadaptasi dengan persekitaran dan ini sebabnya kita cepat berasa lapar dalam suasana sejuk.
Sebaliknya, keinginan untuk makan menurun dalam cuaca lebih panas dan lembap.
Selain itu, pengambilan ubat-ubatan seperti anti kemurungan boleh meningkatkan selera makan. Malah, ramai merungut berat badan mereka bertambah selepas berhenti merokok. Nikotin dalam asap rokok sebenarnya mengurangkan selera makan. Apabila bekalan nikotin terhenti, baru perokok dapat menikmati keenakan sebenar makanan.

Bagaimanapun, ini hanya kesan sampingan sementara yang boleh dikawal dan ia biasanya berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan pertama saja. Pakar Tidur dan Pengurusan Berat Badan Universiti Arizona, Dr Philip Eiching, berkata antara kaedah yang digunakannya untuk membantu individu mengurangkan berat badan ialah menyuruh mereka mendapat cukup tidur iaitu antara enam hingga tujuh jam sehari. Kurang tidur dan masalah obesiti sebenarnya saling berkaitan. Ini kerana orang yang obes biasanya mengalami masalah tidur berdengkur dan apnea (nafas terhenti sementara ketika tidur).
Dengkur dan apnea boleh menjejaskan kualiti tidur kerana seseorang itu akan terjaga setiap kali nafasnya terhenti.

Antara cara lain yang boleh diamalkan untuk mengawal pertambahan berat badan ialah:
# Tidur malam mencukupi — Antara tujuh hingga sembilan jam (bagaimana pun tempoh ini berbeza mengikut keperluan setiap individu).
# Awasi berapa banyak makanan yang anda makan. Ini penting, terutama ketika majlis makan dan makanan dihidang secara bufet. Biasanya ketika ini kita terdorong untuk ambil makanan sepenuh pinggan. Ambil makanan yang benar-benar menarik perhatian kita saja.
# Bijak memilih makanan. Seboleh-bolehnya elakkan makanan segera, banyak karbohidrat dan lemak. Makan lebih banyak ikan, buah dan sayur.
# Bersenam. Jadikan ia sebagai rutin harian, walaupun ketika musim cuti. Bersenam akan membakar lebihan kalori yang masuk ke dalam badan. Berjalan selama 30 minit sehari dapat mengekalkan berat badan, tetapi jika ingin mengurangkan angka yang ada, panjangkan masa berjalan sehingga 60 minit sehari. Bersenam juga membuatkan anda tidur lebih lena.
# Elak minuman mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat, kola dan minuman keras. Semua minuman ini membuatkan anda susah hendak tidur.
# Jangan tidur selepas makan. Beri badan mencerna makanan sekurang-kurangnya tiga jam sebelum masuk tidur.


9. Lagi Khasiat Kurma, Kismis dan Madu - Siri II

Kurma mempunyai berbagai khasiat kesihatan. Ada baiknya kita umat Islam makan kurma setiap hari, bukan hanya di bulan Ramadhan.

MENCEGAH PENYAKIT KRONIK
Berdasarkan kajian Prof Madya Asiah Zain, pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan "Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah". (Berita Harian, Selasa, 20 Februari, 2001)

MERANGSANG DAN MEMUDAHKAN HAMIL
Prof Madya Asiah juga berkata, buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang kesihatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga tambahan.
Khasiat buah kurma bukan sahaja diakui dalam Islam dan diakui juadah penting berbuka puasa, malah kalangan ahli perubatan menganggapnya buah berkhasiat yang mampu mencerdaskan otak dan menyihatkan tubuh badan.
Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universiti Putra malaysia (UPM), Prof Madya Asiah Zain berkata, "Pengambilan buah kurma tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian."

MEMBENTUK SIFAT MULIA DAN KECERDASAN
Maksud hadis Rasulullah s.a.w. :
"Berilah makan buah kurma kepada isteri- isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."

TENAGA SEGERA
Maksud Firman Allah s.w.t. dalam Surah Maryam: Ayat 25-26.
"Dan goyanglah pangkal pohon kurma tu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu."
Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah swt menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s. dan sentiasa bertenaga setelah melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

MADU AMAZING
• Produk istimewa yang dikomposisikan dengan 9 ramuan semulajadi Madu Asli, Kismis, Buah Tin, Kurma Merah, Habbatus Sauda, Buah Zaitun, Dong Quai, Dang Shen, Ubi Jaga dan lain-lain herba terpilih yang diilhamkan daripada kitab-kitab perubatan tradisional mampu membina imunisasi badan dan membina kembali usus.
Gabungan herba-herba terpilih di dalamnya boleh diambil oleh yang menghidapi masalah gastrik, luka dalam perut dan pembedahan, asma, kelesuan dan batu karang untuk yang bermasalah.

Cara Pengambilan :
Amalkan meminum madu amazing 2 sudu sebelah pagi, 2 sudu sebelah malam. Gunakan sudu PLASTIK, Jangan diletak dalam petisejuk.
HARGA :- WM : RM45.00 | EM : RM49.50 | BRU : B$25.50 | S'PORE : S$24.50
KOS PENGHANTARAN : RM5.00 (Semenanjung Malaysia Sahaja!)
290 GM

Dapatkan Madu Amazing dari kami di sini, atau anda blh juga nmenghubungi perunding –perunding kami.

HP:Call / sms 019-4058028,
Emailkan:
1. mawarku_lilin@yahoo.com.sg
2. ekin_mawarku08@yahoo.com.my
YM: mawarku_lilin

p/s: Sila hubungi kami disini untuk sebarang pertanyaan berkaitan produk atau pembelian produk. Kami juga mengalu-alukan kedatangan anda untuk menjadi ahli keluagra kami disini.

Yuran keahlian Cuma rm50 seumur hidup. Untuk keterangan lanjut, hubungi kami segera.